top of page
Sejarah Penubuhan 1 RAMD

Pengenalan

 

          Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja ditubuhkan pada 1 Feb 1938 di Haig Lines, Port Dickson, Negeri Sembilan. Keanggotaan batalion ini terdiri dari anggota-anggota yang telah dilatih untuk menganggotai Rejimen Askar Melayu dalam tahun 1933 hingga 1935. Pegawai Memerintah pertama ialah Lt Col G. Mc I. S. Bruce dibantu oleh Maj G. T. Denaro sebagai Penolong Pegawai Memerintah, Maj G. Wort sebagai Ajutan, Lt (QM) H. Wraight sebagai Kuartermaster dan WOI A. E. Mc Garthy sebagai SMR. Apabila Tentera Jepun menawan Singapura pada 15 Feb 1942, anggota-anggota batalion yang tidak terkorban atau ditawan oleh Tentera Jepun telah pulang ke kampung asal mereka. Batalion ini telah ditubuh semula pada 12 Mei 1946 di Port Dickson setelah Tentera Jepun menyerah kalah. Pegawai Memerintah Melayu pertama ialah Lt Kol Tengku Ahmad bin Tengku Besar Burhanuddin, Pegawai Memerintah Ke-13 dan SMR Melayu pertama ialah PW I Ahmad bin Rabu. Perintah penubuhan adalah melalui Surat Federated Malay States Despatch No. 438 bertarikh 8 Jan 1937. Batalion ditubuhkan sebagai batalion infantri dan disusun semula di bawah Nombor Perjawatan FED(M)/3000/1/56, Nombor Perjawatan FED(M)/3000/2/57, Nombor Perjawatan FED(M)/3000/3/60, Nombor Perjawatan FED(M)/3000/4/66, Nombor Perjawatan FED(M)/3000/6/72 (Batalion Infantri Biasa) dan Nombor Perjawatan FED(M)/3000/7/81 (Batalion Infantri Gaya Baru).

 

       Mulai 1 Jan 1989 batalion distrukturkan semula sebagai Batalion Infantri Istiadat di bawah Nombor Perjawatan FED(M)/3000/7/81 (Pind. 1/2008). Penstrukturan ini telah melibatkan beberapa perubahan dalam susunan, kekuatan anggota, kenderaan dan peralatan. Pada 14 Mei 2012 batalion telah distruktur semula Nombor Perjawatan FED(M)/3000/7/81 (Pind. 1/2008), perjawatan ini menggantikan Nombor Perjawatan FED(M)/3000/7/81. Penstrukturan ini telah melibatkan beberapa perubahan dalam susunan dan kekuatan anggota.

 

Cogan Kata

 

           Sebagai sebuah batalion yang tertua dalam Angkatan Tentera Malaysia, batalion ini telah menjadikan tema “DIGERUNI DAN DISEGANI” sebagai cogan kata pasukan. Digeruni oleh lawan dan disegani oleh rakan dan taulan, perkataan ini melambangkan kecekalan dan semangat juang yang tinggi di kalangan anggotanya. Ia juga mencerminkan kesediaan dan kesanggupan setiap anggota pasukan untuk berkorban demi kepentingan agama, bangsa dan kedaulatan negara.

 

Warna Pasukan

 

 

 

 

 

 

        Warna Merah adalah merupakan asas kepada warna Tentera Darat. Ia melambangkan keberanian anak-anak Melayu dalam mempertahankan ketaatsetiaan kepada raja dan negara, menegakkan kesucian agama Islam dan mempertahankan kedaulatan negara dari ancaman musuh dari dalam atau luar negara.

 

Ragaan Utama Pasukan

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

‘Deers and Two Palm Trees’

 

            Ragaan Utama 1 RAMD adalah dua buah barang antik yang dikenali sebagai ‘Deers and Two Palm Trees’. Ia melambangkan anggota batalion ini yang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan cabaran yang mendatang. Rusa merupakan binatang yang bertenaga dan aktif di hutan. Ia juga melambangkan sebuah batalion yang sentiasa diperlukan bagi menjana kegemilangan Tentera Darat. Pokok Paku Pakis Gajah pula merupakan flora yang tumbuh di pinggir paya dan melambangkan pasukan ini sentiasa sanggup berada di mana sahaja bagi melindungi dan mempertahankan rakyat Malaysia dalam apa jua keadaan yang mendatang. Ragaan ini diperbuat daripada Solid Sterling Silver dan telah dihadiahkan oleh Lt. G.M.T. Martin dan Lt. J.C. Little sempena kenaikan pangkat mereka sebagai Leftenan. Nilai Ragaan ini sekarang dianggarkan RM50,000 setiap satu.

 

        Lagu Pasukan    

 

          Bagi menaikkan api semangat anggotanya, pasukan ini telah menggubah satu lagu patriotik berjudul 1 RAMD. Ia dicipta dan digubah oleh PW II Muhammad Dali bin Ahmad, Drum Mejar pada tahun 1958. Senikata lagu adalah seperti berikut:

 

1 RAMD

Satu Melayu Diraja

Pasukan Yang Tertua

Teguh Kukuh Berdirinya

Membela Nusa Dan Bangsa

 

Sejak Dari Dulu Kala

Mashyur Sudah Namanya

Walau Ditelan Masa

Kau Kekal Selamanya

 

Di Bawah Panji-Panji Satu

Ku Bersumpah Padamu

Biarlah Mengalir Darahku

Kau Ku Sanjung Selalu

 

Kami Semua Setia

Dari Satu Rumpun Bangsa

Di Bawah Satu Bendera

Satu Melayu Diraja

 

 

 

Penempatan Pasukan

 

1. Batalion telah menduduki dua kem tetap semasa penubuhan dan semasa Perang Dunia Kedua seperti berikut:

 

     a.         Depoh Askar Melayu, Haig Lines,                                          Jan 1938 - Dis 1941

                 Port Dickson, Negeri Sembilan

 

     b.         Kem Normanton, Singapura                                                Dis 1941 - Feb 1942

 

2. Selepas penubuhan semula apabila Perang Dunia Kedua tamat, batalion telah menduduki 14 kem tetap seperti berikut:

 

     a.         Depoh Askar Melayu, Haig Lines,                                          Mei 1946 - Jun 1946

                 Port Dickson, Negeri Sembilan

 

     b.         Kem Burma, Kuala Lumpur                                                  Jun 1946 - Jul 1947

 

     c.         Kem Town Barrack, Taiping, Perak                                       Ogos 1947 - Dis 1949

 

     d.         Kem Batu 5, Mentakab, Pahang                                           Jan 1950 - Feb 1952

 

     e.         Kem Tanjung Emas, Muar, Johor                                         Mac 1952 - Mac 1953

 

     f.          Kem Changkat, Batu Gajah, Perak                                       Apr 1953 - Mac 1955

 

     g.         Kem Kepala Batas, Kedah                                                    Apr 1955 - Dis 1960

 

     h.         Kem Sungai Besi, K.Lumpur                                                Jan 1961 - Dis 1963

 

     i.          Kem Town Barrack, Taiping, Perak                                      Jan 1964 - Dis 1966

 

     j.          Kem Semenggo, Kuching, Sarawak                                     Jan 1967 - Dis 1968

 

     k.         Kem Batu 5, Mentakab, Pahang                                          Jan 1969 - Dis 1979

 

     l.          Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu                                               Dis 1079 - Dis 1983

 

     m.        Kem Segenting, Port Dickson                                             Jan 1984 - Dis 1985

 

     n.         Kem Perdana Sungai Besi,                                                  Jan 1986 - Sekarang

                 Kuala Lumpur

 

3. Selain dari kem-kem diatas batalion telah menduduki dua kem tanpa keluarga ketika penugasan di Sabah dan Sarawak seperti berikut:

 

     a.         Kem Lapangan Terbang,                                                    Jan 1965 - Okt 1965

                 Sandakan, Sabah

 

     b.         Kem Serian, Sarawak                                                         Jan 1970 - Dis 1970

 

     c.         Kem Lapangan Terbang,                                                    Mac 1973 - Feb 1974

                 Sandakan, Sabah

© 2023 by Strategic Consulting. Proudly created with Wix.com

bottom of page